PRK TANJUNG DATU DITETAPKAN 18 FEBRUARI

Anak bongsu Allahyarham Adenan, Azizul Annuar Adenan bakal calon? 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu di Sarawak akan diadakan pada 18 Februari ini, susulan kematian penyandangnya Tan Sri Adenan Satem, minggu lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, mesyuarat khas hari ini turut memilih 4 Februari ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 12 Februari.

Adenan menyandang kerusi DUN Tanjung Datu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2006.

Ketua menteri Sarawak ke-5 itu meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, akibat komplikasi jantung pada usia 72 tahun, 11 Januari lalu.

Pada PRN Sarawak Ke-11, Mei tahun lalu, Adenan mendapat 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang sekadar meraih 468 undi.

Calon PKR itu turut hilang depositnya.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjung Datu itu, kelmarin.

Semalam, sumber dipetik berkata, 2 nama dicadangkan sebagai calon berpotensi untuk mengisi kerusi itu.

Mereka ialah balu Adenan, Puan Sri Jamilah Anu dan anak bongsu mereka yang berusia 26 tahun, Azizul Annuar Adenan.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu Jamilah enggan bertanding pada PRK itu.

Azizul ialah graduan dalam bidang ekonomi dari Murdoch University, Australia dan beliau sering menyertai program membantu golongan kurang bernasib baik.

Semalam, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini untuk membincangkan persiapan menghadapi PRK itu.

Timbalan Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, mesyuarat itu turut akan membincangkan kekosongan jawatan presiden PBB yang ditinggalkan Adenan.


Author:

Facebook Comment