POLIS SEDIA UNTUK PRK TANJONG DATU


Polis sudah bersiap sedia dari aspek keselamatan dan penugasan anggota untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong  Datu yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, perancangan sedang diperhalusi dari segi pergerakan serta penugasan anggota bagi memastikan kelancaran sepanjang PRK tersebut.
“Setakat ini, masih terlalu awal untuk mengulas dengan lebih teliti mengenai perkara ini, namun kita sedang memperhalusi pergerakan serta penugasan anggota, dan kita sudah bersiap sedia untuk PRK tersebut.
“Kita telah bergerak ke arah itu (PRK) dan dari segi logistik memang tidak ada masalah sebab elemen satu Sarawak boleh kita gunakan untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu yang akan menjadi bilik gerakan kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.
PRK kerusi DUN Tanjong Datu dijangka diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11(PRN11) lalu, Allahyarham Adenan berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 2006 dengan majoriti 5,892 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jazolkipli Numan.

Facebook Comment