Najib jamin UMNO tidak akan masuk Sarawak - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, January 22, 2017

Najib jamin UMNO tidak akan masuk Sarawak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan UMNO tidak akan meluaskan kuasanya di Sarawak.

Jaminan itu, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dinyatakan Najib kepada beliau ketika pertemuan mereka di Putrajaya kelmarin.

Justeru, Abang Johari sekali lagi tampil dengan pendirian tegasnya mengatakan UMNO tidak akan masuk ke Bumi Kenyalang selagi beliau bergelar pemimpin negeri.

Beliau berkata, namanya sering dikaitkan dengan UMNO, iaitu salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), malah menjadi tular di laman sosial.

“Di sini, saya ingin menegaskan bahawa UMNO tidak akan masuk ke Sarawak selagi saya menjadi Ketua Menteri walaupun nama saya dikaitkan dengan parti itu di media sosial.
“Saya telah memaklumkan kepada PM (Najib) berhubung perkara ini dan beliau menerima pendirian kita (Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, Najib menyokong usaha keras dilakukan BN Sarawak diketuai PBB.
“Datuk Najib (Perdana Menteri) kata kamu (PBB dan komponen BN) sudah kuat di sana (Sarawak), jadi kenapa perlu UMNO hendak masuk ke sana?” jelas Abang Johari ketika diminta mengulas berkenaan reaksi Perdana Menteri.

Apa pun, katanya, Sarawak bakal menjalin terus kerjasama dengan parti komponen di Semenanjung atas dasar kepentingan dan kesejahteraan BN sahaja.

Tambah Abang Johari, pembangunan Sarawak tetap menjadi keutamaan sekali gus meneruskan legasi dan perancangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika menggalas tugas sebagai Ketua Menteri sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan parti komponen BN Sarawak akan membantu PBB pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bulan depan.

Menurutnya, meskipun kerusi tersebut dikelaskan sebagai kawasan ‘putih,’ namun BN Sarawak tidak akan mengambil mudah perkara berkenaan sebaliknya memastikan kemenangan di konstituensi Tanjong Datu.
BP

No comments:

Post a Comment