MAYAT REPUT DITEMUI DI SUNGAI BIDUT, SEORANG LELAKI DIBERKAS BANTU SIASATAN - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, January 29, 2017

MAYAT REPUT DITEMUI DI SUNGAI BIDUT, SEORANG LELAKI DIBERKAS BANTU SIASATAN



KUCHING: Seorang ahli perniagaan diberkas polis untuk membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput di kawasan semak di Jalan Sungai Bidut, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dari rumahnya kira-kira empat jam selepas mayat tersebut ditemui iaitu sekitar jam 4.50 petang.

Menurut Dev, mayat yang dipercayai seorang ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak 22 Januari lepas itu bagaimanapun belum disahkan identitinya disebabkan kecederaan parah di mukanya.

“Pada Khamis lepas, mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui di Jalan Sungai Bidut, namun identiti mayat tidak dapat dikenalpasti disebabkan kecederaan parah di muka serta tiada dokumen peribadi ditemui.

“Bertindak terhadap kemungkinan mayat tersebut adalah ahli perniagaan yang dilaporkan hilang, pasukan JSJ menahan seorang lelaki juga merupakan ahli perniagaan di rumahnya di Sungai Bidut kira-kira empat jam kemudian.

“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, kita percaya kes tersebut berjaya diselesaikan, bagaimanapun kita tidak dapat mendedahkan lebih lanjut berhubung siasatan,” kata Dev dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Tambah Dev, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

“Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor mengucapkan tahniah kepada pasukan JSJ Sibu yang berjaya menyelesaikan kes tersebut beberapa jam selepas mayat ditemui,” kata Dev.

Pada Rabu lepas, satu laporan polis dibuat berhubung kehilangan seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun di Balai Polis Sungai Merah selepas keluar dari rumahnya di Jalan Teku, di sini pada 22 Januari sekitar jam 7 malam.

“Kereta mangsa berjaya ditemui berhampiran jeti Tanjung Malin pada hari yang sama dan hampir kesemua barang peribadi termasuk barang berharga milik mangsa ditemui di dalam kereta tersebut,” kata Dev.

No comments:

Post a Comment