KEMUNCULANNYA DIALU, PEMERGIANNYA DITANGISI



SETELAH terkena serangan jantung pada 2013, makanan Tan Sri Adenan Satem dikawal oleh isterinya, Puan Sri Jamilah Anu. Jamilah akan pastikan diet Adenan sentiasa dipatuhi. 

Tidak hairanlah Jamilah akan memandu sendiri ke pasar terutama di Kampung Buntal, Santubong, tidak jauh dari kediaman mereka untuk mencari ikan segar. 

Adenan akan duduk seorang dalam kereta sambil Jamilah membeli ikan. 

Cerita ini bukan cerita dulu, malah sudah menjadi rutin hujung minggu sejak Adenan menyandang jawatan Ketua Menteri. Malah, Adenan juga kerap bersarapan bersama Jamilah di kawasan terbuka di sekitar bandar raya dan sanggup beratur, berdiri bersama pelanggan lain, seperti gambarnya yang kerap diviralkan di media sosial. 

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Adenan saban hari dibekalkan makanan ke pejabat yang dimasak sendiri oleh Jamilah. 

"Ya... memang rutin saya bawa bekal (makanan) dari rumah. Memang saya menggemari masakan isteri. Tapi ini rahsia kita.... jangan beritahu isteri saya itulah sebabnya mengapa saya mengahwini beliau (Jamilah)," katanya berseloroh kepada sekumpulan tetamu di pejabatnya tahun lalu. 

Adenan memilih hidangan ringkas seperti ikan terubok, mi kolok dan laksa Sarawak, sebagai makanan rutin harian tetapi beliau seboleh-bolehnya mengelak mengambil daging.

Sebaliknya, Adenan lebih suka makan ikan dan sayur... diet yang dipastikan oleh Jamilah ada dalam mangkuk tingkat. 

Apabila pulih setelah serangan jantung pada 2013, Adenan menunaikan nazarnya mengerjakan umrah dan terbukti beliau mampu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali tawaf dan sai, berjalan dari Safa ke Marwah, juga tujuh kali dalam lingkungan lima kilometer. 

Sudah berhenti merokok 

"Saya rasa (ketika sakit dulu) saya tiada harapan (untuk hidup). Alhamdulillah, saya juga sudah berhenti merokok sejak tiga tahun lalu," katanya kepada penulis tidak berapa lama dulu. 

Apabila penulis menemuinya lagi tahun lalu dan diajukan soalan berkisar kepada tahap kesihatannya ketika itu, Adenan berkata ia agak baik dalam keadaan usianya yang mencecah 72 tahun. 

"Yang pasti, saya bukan lagi 23 tahun. Dalam usia 72 tahun (2016), saya bersyukur masih boleh bangun pagi dan aktif sepanjang hari. Namun, saya perlu tidur awal. Biasanya, saya akan baca buku dan melayari internet sebelum tidur. Saya sudah berhenti merokok.... keadaan kesihatan saya lebih baik sekarang," katanya ketika itu. 

Pada suatu ketika sewaktu menyandang jawatan Menteri dalam Kabinet Persekutuan, saya pernah bertanya kepada Adenan, sama ada beliau benar-benar mahu berhenti merokok atau berhenti membeli rokok. 

Memang tabiat beliau akan meminta rokok daripada rakan rapat. 

Adenan juga gemar menyanyi dan sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri tahun lalu, beliau kerap menyanyi, lazimnya sebelum menyampaikan ucapan. 

Adenan memang meminati Elvis Presley dan antara lagu Elvis yang menjadi kegemarannya ialah Can't Help Falling in Love dan sudah tentu ia khas untuk isteri tersayang 'Kak Milah'. 

Gemar menyanyi 

Lagu The Young Ones nyanyian Cliff Richard, turut menjadi kegemarannya. Pernah pada satu majlis keramaian, penganjur memainkan muzik lagu The Young Ones dan tidak disangka, Adenan terus naik ke pentas untuk menyanyi walaupun tiada dalam program majlis. 

Satu kenyataan yang agak mengejutkan apabila beliau mula menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak ialah meminta supaya namanya memadai disebut sebagai 'CM' (Chief Minister) atau 'Adenan' sahaja, sekali gus menolak nilai tradisi, protokol dan feudalisme yang mula dirasai rakyat di seluruh negara, bukan sahaja di Sarawak. 

Menurut Adenan, agak membosankan setiap kali ada majlis rasmi, namanya dipanggil dengan nama penuh 'Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem'..... panggil sahaja CM atau Adenan, cukuplah. 

Malah, beliau juga tidak mahu menteri Kabinetnya dalam setiap ucapan memanggilnya seperti our beloved Chief Minister. Adenan mahu panggilan 'sayang' itu dihentikan kerana katanya ia dikhususkan untuk ahli keluarga terdekat terutama isteri, anak dan cucunya. 

"Saya malu bila dipanggil 'sayang'. Tolong jangan panggil saya begitu." 

Ungkapan 'Ooo-haa, you-you' juga adalah sinonim dengan Adenan tetapi tiada siapa pernah mencari asal usul frasa pemikat itu sehingga mendengar daripada mulut si pemilik itu sendiri. 

Buat pertama kali, ketika pilihan raya negeri tahun lalu, Adenan mendedahkan bahawa inspirasi di sebalik kata-kata hikmah itu adalah disebabkan asuhannya semasa membesar dalam kalangan pelbagai kaum di Sarawak. 

Bagi 'Ooo-haa', beliau menjelaskan bahawa secara longgar dalam bahasa Iban bermaksud 'Datai situk aku nak berjako' atau dalam bahasa Melayu 'Sila datang ke sini, saya ingin bercakap dengan anda'. 

Al-Fatihah 


Author:

Facebook Comment