‘KAMI HILANG SEORANG ANAK SARAWAK YANG HEBAT’


Netizen termasuk ahli politik memberi penghargaan kepada Adenan yang meninggal dunia kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Laman media sosial mula dibanjiri penghargaan daripada netizen, termasuk ahli politik susulan pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kira-kira 1.20 tengah hari tadi.

Ramai pengguna Twitter memuji presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merangkap Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata: “Kami kehilangan seorang anak Sarawak hebat yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada rakyat.”

Pemimpin Barisan Nasional lain turut menyuarakan kesedihan di Twitter dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau akan terbang ke Sarawak.

“Malaysia hilang seorang pemimpin berkebolehan,” tulisnya dalam Twitter.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Twitter turut mengucapkan takziah kepada keluarga Adena serta rakyat Sarawak.

“Salam takziah kepada Puan Sri Jamilah serta seluruh ahli keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak atas pemergian Tan Sri Adenan Satem. Semoga rohnya ditempatkan bersama hambanya yang beriman dan beramal soleh.”

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata: “Malaysia kehilangan seorang pemimpin hebat.”

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan menulis: “Sangat terkejut. Kehilangan besar kepada semua #Malaysians. Takziah kepada keluarga dan rakyat Sarawak.”

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengucapkan takziah kepada isteri Adenan Jamilah, keluarga dan rakyat Sarawak.

Ahli Parlimen Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perjuangan Adenan demi masa depan Sarawak yang lebih baik akan diteruskan.

“Takziah diucapkan kepada ahli-ahli keluarga CM Adenan & rakyat Sarawak. Perjuangan beliau untuk Sarawak yang lebih baik akan diteruskan.”

Orang ramai turut mengucapkan takziah atas pemergian Adenan di Twitter.

Seorang pengguna Twitter dengan nama akaun Ahmad Tarmidzi menyifatkan Adenan sebagai pejuang Sarawak yang sebenarnya.

“Beliau berjuang untuk kita, rakyat Sarawak,” tulisnya sambil menambah akan mendoakan ahli politik kanan itu ditempatkan di kalangan orang beriman.

Seorang lagi pengguna Twitter, Miz_PhinzSJ berkata, ia merupakan hari menyedihkan bagi Sarawak kerana negeri itu “kehilangan pemimpin yang baik”.

------------------------------------
Tiada lagi dia
Tiada lagi kelibatnya
Membeli ikan di kpg Buntal
Tiada lagi susuknya
Membeli buah di gerai
Tiada lagi wajahnya
Tenang menyuap laksa di cafe marhaen
Tiada lagi kedengaran garau ketawanya
Mengusik rakyat di majlis majlis
Kami akan rindukan kalimah guraumu
You you
Kami akan sentiasa rindukan ketegasan mu
Hak sarawak tetap dibela
Kami akan rindukan keakraban mu
Saat bertemu rakyat jelata
Berehatlah wahai ayahanda
Berehatlah dari segala rencah dunia
Berehatlah dengan tenang di sana

Terima kasih atas segala jasa dan bakti
Dan bertabahlah buat puan sri yang setia disisi.
Bagi rakyat Tok Nan sentiasa hidup dalam kenangan
DariNya kita datang
KepadaNya juga kita kembali.
Innalillahiwainailaihirojiun

Nukilan sayu
Cikgu Emmet
11012017

https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1217653404949327&id=745778838803455

Author:

Facebook Comment