KABINET SARAWAK KEKAL - ANGKAT SUMPAH HARI INI


Bagi menghormati keputusan dan kebijaksaan politik allahyarham Tan Sri Adenan Satem, ketua menteri Sarawak baru Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg (Abang Jo) mengekalkan semua menteri dan portfolio masing-masing.
Barisan Kabinet Sarawak yang dipimpin beliau itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, sebentar tadi.
 
Majlis angkat sumpah di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah sebahagian prosedur susulan pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang baru berikutan kematian Adenan  akibat komplikasi jantung minggu lalu.
 
Difahamkan semua portfolio dikekalkan bagi menghormati Allahyarham Adenan dan rombakan Kabinet Sarawak berkemungkinan berlaku selepas 100 hari pentadbiran Abang Jo. 
Dalam pada itu, kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri III tidak diisi walaupun sebelum ini Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, disebut-sebut mengisi jawatan berkenaan.
 
Ia sekali gus menyaksikan Timbalan Ketua Menteri sedia ada kekal disandang Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Tan Sri James Jemut Masing, selaku Timbalan Ketua Menteri II.
 
Mengetuai istiadat angkat sumpah tadi ialah dua timbalan ketua menteri, Douglas dan Masing.
 
Ia diikuti barisan menteri kanan diketuai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan.
 
Turut mengangkat sumpah ialah Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Author:

Facebook Comment