DENDAM KESUMAT CETUS INSIDEN BERDARAH DI STAMPIN

Pergaduhan di antara dua kumpulan yang dipercayai berpunca daripada dendam menyebabkan beberapa individu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat ditetak menggunakan parang, petang kelmarin.
Difahamkan, insiden berdarah tersebut berlaku di kawasan penempatan semula Stampin Baru apabila sekumpulan empat lelaki menyerbu sebuah rumah di situ sekitar jam 5.50 petang Isnin lepas.
Dalam insiden itu, kumpulan yang menaiki kereta Myvi tersebut terus menyerang dua lelaki yang sedang berehat di rumah berkenaan sehingga berlaku pergelutan.
"Kumpulan terbabit menyerang dua lelaki (mangsa) yang ketika itu berada di rumah sebelum kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar.
"Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih tegang apabila mangsa dilanggar oleh suspek menggunakan kereta menyebabkan dia terjatuh dan berlaku pergelutan di antara mereka.
"Pergaduhan tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan dan kedua-dua mangsa termasuk suspek yang cedera telah dikejarkan ke HUS untuk menerima rawatan," kata sumber.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, pihaknya telah menahan tiga suspek (lelaki) dan seorang lagi lelaki masih dijejaki.
"Susulan daripada kejadian tersebut, kita telah menahan tiga suspek masing-masing berusia 29, 31 dan 35 tahun berasal dari Stutong Baru, Kampung Stampin dan Stapok.
"Dua daripada suspek juga menerima rawatan di HUS dan siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana dendam lampau antara dua pihak," katanya.
Tambahnya, seorang lagi suspek yang masih dijejaki berasal dari Kampung Tabuan Foochow.
"Selain itu, kita juga merampas sebilah parang serta sebuah Myvi dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan kedua-dua mangsa masih menerima rawatan di HUS.

Facebook Comment