DASAR KEK HALAL MCDONALD’S TAK MASUK AKAL, KATA NGO SARAWAK


Persatuan Suara Pengguna Sarawak (Covas) membantah dasar McDonald’s yang hanya membenarkan kek dengan sijil halal dibawa masuk ke rangkaian restorannya.

Presiden Covas, Michael Tiong yang dipetik Borneo Post berkata, rangkaian restoran makanan segera itu tidak sepatutnya berfikir untuk melaksanakan dasar itu di negeri berkenaan kerana ia “tidak masuk akal”.

Beliau percaya dasar sedemikian akan menyebabkan pengasingan lebih besar dan memusnahkan persekitaran pelbagai budaya dan agama diamalkan rakyat Sarawak selama ini.

“Kami percaya tindakan McDonald itu karut semata-mata. Jika kek dibuat umat Islam tetapi mereka tidak ada sijil halal, adakah kek itu secara automatik tidak halal?

“Semua kek buatan sendiri, walaupun yang dibuat umat Islam, serta-merta menjadi tidak halal hanya kerana ia tiada pensijilan,” katanya dipetik akhbar Sarawak harian itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak “menentang” McDonald’s dan menjadikan cawangan restoran terkenal itu “tempat terakhir untuk sambutan hari jadi”.

Kenyataan Tiong adalah tindak balas terhadap pengesahan McDonald’s pada Khamis lalu mengenai peraturan baharu itu.

McDonald’s mengesahkan hanya kek yang mempunyai sijil halal dibenarkan dibawa ke rangkaian restoran itu.

Khamis lalu, tersebar imej suatu notis di Internet yang menyatakan hanya kek dengan sijil halal boleh dibawa masuk ke premis McDonald’s.

Kelmarin, McDonald’s memohon maaf atas segala salah faham yang timbul daripada notis kek halal, namun mereka akan tetap meneruskan dasar itu bagi mematuhi garis panduan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, sebagai syarikat yang memberi perkhidmatan kepada semua lapisan rakyat Malaysia, McDonald’s tidak berniat mewujudkan diskriminasi terhadap mana-mana individu.

McDonald’s berkata, mereka perlu memastikan semua produk makanan yang dibawa masuk ke restorannya halal dalam usaha mengekalkan status halal mengikut piawaian ditetapkan Jakim.

Jumaat lalu, Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) berkata, Jakim tiada kuasa mengisytiharkan sesebuah premis itu halal atau tidak kerana pensijilan halal hanya tertakluk kepada makanan dihidangkan premis terbabit, bukannya makanan yang dibawa pelanggan.

Presidennya, Gan Ping Sieu berkata, Jakim tidak boleh menghukum premis menjual makanan halal yang membenarkan pelanggan membawa makanan tidak mempunyai sijil halal ke premis mereka kerana tindakan itu adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang akan memecahbelahkan rakyat berbilang kaum disebabkan agama.




Facebook Comment