BOMBA JERUT DUA EKOR ULAR SEDANG BERTARUNG UNTUK MASUK SEBUAH RUMAH DI LIMBANG - Randau Sarawak

Breaking

Saturday, January 21, 2017

BOMBA JERUT DUA EKOR ULAR SEDANG BERTARUNG UNTUK MASUK SEBUAH RUMAH DI LIMBANG



LIMBANG: Anggota bomba berjaya menumpaskan dua ekor ular jenis tedung selar dan sawa yang sedang bergelut sebelum cuba memasuki sebuah rumah di Kampung Pelita di sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu jam 3.45 petang, dua ular terbabit dikesan cuba memasuki rumah Jasni berusia 60-an, sebelum salah seorang anaknya memaklumkan kejadian kepada bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Ligem berkata ular tedung sepanjang dua meter dan ular sawa sepanjang 1.8 meter itu ditangkap menggunakan penjerut.

“Lima anggota bersama sebuah Hilux dihantar ke lokasi kejadian untuk menangkap kedua-dua ekor ular itu,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa kurang lima minit untuk menangkap ular tedung selar dan sawa itu menggunakan penjerut.

“Ular tedung dan sawa itu kemudiannya dilepas semula ke dalam hutan berhampiran,” katanya lagi.

Sementara itu di Mukah, penduduk Kampung Teh mendakwa banyak ular menjadikan persekitaran kampung itu sebagai habitat berikutan penemuan seekor ular tedung berukuran 15 kaki panjang seberat lebih tiga kilogram baru-baru ini.

Penduduk berkata, mereka percaya masih ada ular tedung sedang membiak kerana ular ditemui pada Selasa lalu agak besar dan berbahaya.

Menceritakan semula detik cemas ketika ular itu ditemui di belakang rumahnya, Sonsek Libu, 42, memberitahu, dia tidak menghirau keselamatan dirinya pada situasi berkenaan.

“Tidak ingat lagi hendak minta bantuan siapa, saya dan jiran terus ambil kayu dan pukul ular,” jelasnya.

Ular itu katanya dilihat terlebih dahulu oleh jirannya di belakang rumah dan menjerit memberitahu dengannya.

Walaupun ular itu dipercayai bertindak balas menyerang, Sonsek dan jirannya akhirnya berjaya menewas ular berkenaan.

Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana tiada kejadian diingini berikutan insiden berkenaan.

No comments:

Post a Comment