AWANG TENGAH TURUT MENCADANGKAN ABANG JOHARI


KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan antara yang mencadangkan nama Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak semalam.

Katanya keputusan itu dicapai sebulat suara semasa berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

“Untuk kami di PBB, dari dahulu lagi, malahan ketika pemerintahan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, kami sememangnya menyerahkan keputusan di tangan pemimpin tertinggi. Dan ini menjadi kekuatan PBB.

“Seperti dalam mesyuarat PBB bersama TYT pagi tadi (semalam), semua kami memutuskan mencalon Abang Johari sebagai Ketua Menteri dan kami sebulat suara menyokong cadangan tersebut sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Keenam yang berlangsung di Astana Negeri, di sini semalam.

Jelasnya, dengan pelantikan itu, beliau bersama anggota parti percaya Abang Johari mampu menggalas jawatan itu dengan baik dan komited.

“Sudah tentu saya percaya beliau (Abang Johari) akan mengekalkan semangat yang telah pun diletakkan oleh Allahyarham Adenan sebelum ini.

“Dan beliau juga adalah seorang pemimpin yang berpengalaman luas, oleh itu, kami percaya beliau komited dan akan memastikan keperluan serta kebajikan rakyat berbilang kaum di negeri ini akan dipertimbangkan,” jelasnya sambil menambah, akan terus memberi sokongan penuh kepada Abang Johari sebagaimana yang pernah diberikan kepada Allahyarham Adenan ketika hayatnya.

Beliau ketika mengulas pertanyaan media juga menafikan mempunyai hubungan kurang baik dengan Abang Johari seperti yang digembar-gemburkan.

Katanya Abang Johari merupakan individu yang menarik beliau ke dalam dunia politik ketika beliau menyandang jawatan pegawai kanan di bawah Kementerian Pertanian dan Pembangunan Komoditi dan pada ketika itu Abang Johari merupakan menteri muda.

“Abang Johari yang membawa saya masuk ke dunia politik dan itulah satu cerita lama yang sangat panjang,” katanya sambil ketawa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menafikan PBB telah membuat cadangan bagi pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri sekali gus menggantikan jawatan Abang Johari sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri.

Author:

Facebook Comment