20 PELANCONG CEDERA ‘TANJU’ (BERANDA) RUNTUH



Tidak mampu tampung beban, ‘tanju’ Annah Rais runtuh ketika pelancong bergambar.

KUCHING: Keterujaan sekumpulan pelancong bergambar berlatar belakang pemandangan gunung-ganang bertukar mimpi ngeri apabila ‘tanju’ (beranda) tempat mereka berdiri di Rumah Panjang Annah Rais, Padawan runtuh petang kelmarin.

Ketua Kaum Kampung Annah Rais Alex Man berkata, insiden berlaku sekitar jam 4.30 petang apabila sekumpulan 120 pelancong dari Semenanjung Malaysia berkunjung ke rumah panjang tersebut.

Menurutnya, semasa kejadian, kira-kira 20 pelancong terbabit berdiri di ‘tanju’ bahagian ‘Kupo Seba’ di hujung rumah panjang untuk bergambar.

“Mereka tertarik dengan pemandangan di situ dan ingin merakam kenangan dengan bergambar di situ beramai-ramai tanpa memikirkan keadaan ‘tanju’ yang tidak dapat menampung beban ramai orang pada satu-satu masa.

“‘Tanju’ yang terletak di bahagian ‘Kupo Seba’ runtuh menyebabkan kira-kira 20 daripada mereka terjatuh, malah ada yang mengalami kecederaan ringan,” katanya semasa ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, David Mush Rakah, 80, memberitahu dia terkejut apabila mendengar bunyi runtuhan, namun langsung tidak menyangka ‘tanju’ tersebut runtuh.

“Saya tidak berada di sana (tempat kejadian), tetapi saya terkejut mendengar bunyi runtuhan dan langsung tidak menyangka ‘tanju’ runtuh sehingga melihatnya sendiri.

“Sebelum ini, jika ada pengunjung yang datang, memang kita akan menasihatkan mereka agar tidak berkumpul ramai-ramai di atas ‘tanju’ tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, menurut David, bahagian lantai ‘tanju’ tersebut baharu sahaja dibaik pulih beberapa bulan lepas.

“Bahagian lantainya masih baharu kerana baharu ditukar beberapa bulan lepas, namun tiang kayu belian yang merupakan tiang utamanya sudah berusia mencecah 40 tahun,” jelasnya.

Manakala, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Edward Kurik yang melawat tempat kejadian memberitahu, pihaknya akan berusaha membantu membaiki ‘tanju’ tersebut.

“Kami, penduduk kampung akan bergotong-royong membaiki ‘tanju’ ini menggunakan dana yang ada kerana ia juga merupakan laluan utama untuk pengunjung.

“Insiden seperti ini merupakan kali pertama berlaku dan kita akan memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang,” kata Edward yang juga merupakan anak jati kampung tersebut.

Difahamkan, semua pelancong yang cedera telah diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian dan masing-masing mengaku ia adalah kesilapan mereka sendiri yang ingkar nasihat penduduk kampung.

Author:

Facebook Comment