TOLERANSI SEJATI

Hari Krismas bagi keluarga Gujang membuktikan ikatan kekeluargaan tidak dibatasi perbezaan agama.


KUCHING: Keluarga besar Gujang Mujik dan isterinya, Dohem Nayub adalah lambang toleransi sejati serta keharmonian kaum dan agama rakyat Sarawak.

Begitu istimewa, sambutan Hari Krismas hari ini membuktikan betapa ikatan kekeluargaan tidak akan putus biarpun ada di kalangan anak-anak Gujang berlainan agama.

Pasangan berbangsa Bidayuh dari Kampung Selampit ini dikurniakan 12 orang anak di mana empat daripada mereka iaitu dua lelaki dan dua perempuan memeluk Islam.

Menariknya, meskipun sudah memeluk Islam, salah seorang anak kepada pasangan ini iaitu Nurhartini Gujang Abdullah terus menetap bersama ibu bapanya di kampung.

Menurut Dohem, perbezaan agama antara dia dan anak-anaknya yang beragama Islam tidak pernah menjadi isu dalam keluarganya.

Malah, katanya, kepelbagaian agama dalam keluarga besarnya ini termasuk ada yang menganuti agama Bahai, merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.

"Kami sekeluarga tidak hanya menyambut Krismas, malah kami juga menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak kami, Nurhartini dan dua anaknya Nurul Farhana dan Ammir.

"Apa yang paling penting, kami sebagai ibu bapa dan anak-anak harus saling menghormati agama dan budaya masing-masing," katanya.

Sementara itu, bagi Nurhartini dia dan anak-anaknya akan turut membuat persiapan bersama ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain pada Hari Krismas, begitu juga Gawai Dayak.

"Walaupun saya tidak lagi beragama Kristian, namun saya tetap meraikan Hari Krismas bersama ibu bapa dan adik-beradik saya yang lain kerana inilah rumah dan keluarga saya.

"Begitu juga apabila Hari Raya, ibu bapa serta adik-beradik saya yang lain akan membuat persiapan bersama saya dan anak-anak termasuk dalam penyediaan makanan," katanya.

Tiga lagi anak kepada pasangan ini yang memeluk Islam dan sudah berumah tangga ialah Othman Gujang Abdullah menetap di Kelantan, Nor Hafizah Gujang Abdullah menetap di Asajaya dan Rashidi Gujang Abdullah menetap di Terengganu.


Facebook Comment