SUMBANG RUMAH KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN



SANTUBONG: Lebih banyak syarikat dan badan korporat dipelawa tampil membantu menyumbang rumah khasnya kepada mereka yang memerlukan melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, kerajaan sememangnya memastikan seramai mungkin rakyat memerlukan rumah dapat diberi bantuan tetapi ia terhalang disebabkan peruntukan terhad.

“Apa yang kerajaan sangat perlukan adalah bantuan daripada syarikat atau badan korporat melalui CSR mereka sebagai pelengkap kepada usaha dilakukan kerajaan.

“Misalnya menurut statitisk permohonan program bantuan rumah melalui senarai eKasih, Sarawak menerima paling ramai rakyat miskin mendapat bantuan rumah daripada kerajaan adalah pada 2012 dan tahun-tahun selepas itu ia semakin berkurangan kerana kekangan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan rumah ‘kitkotak home’ pertama kepada penerima, Shukeri Abdul Wahed di Kampung Buntal di sini, semalam.

‘Kitkotak home’ itu merupakan sumbangan projek CSR daripada syarikat pemaju perumahan kediaman mewah, Elica Sdn Bhd yang dihadiri Pengarah Urusannya Bobby Ting serta isteri Shentel Lee.

Fatimah berkata, projek sedemikian amat bermakna kepada kumpulan memerlukan dan ia memberi kediaman yang lebih selesa kepada mereka selain membantu usaha kerajaan menyediakan bantuan rumah kepada golongan terbabit.

“Saya merasakan ia satu projek yang boleh dicontohi oleh syarikat dan badan korporat lain yang mana dapat memberi manfaat kepada keluarga miskin dengan kos RM30,000, yang merangkumi ruang keluarga, kemudahan tandas serta dapur,” katanya.

Fatimah berkata, dengan menggunakan kontena, ia dilihat amat baik kerana fleksible mengikut kesesuaian tempat, lokasi, tanah dan keperluan keluarga.

Beliau turut dimaklumkan bahawa syarikat Elica merancang membina 10 rumah yang sama kepada golongan memerlukan pada 2017 dan kerajaan amat mengalu-alukan usaha syarikat berkenaan.

Sementara itu penerima rumah, Shukeri ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada syarikat Elica atas sumbangan diberikan kepadanya serta keluarga.

“Saya dan keluarga amat berterima kasih kepada syarikat Elica dan kami amat berpuas hati dengan sumbangan diberikan.

“Kami menerima panggilan daripada syarikat ini untuk mendapat bantuan pada bulan lepas dan kami sekeluarga amat bersyukur,” katanya sambil memberitahu dia telah lama memohon rumah melalui eKasih.

Shukeri serta isterinya Siti Khadijah Kawi yang tinggal bersama lima anak mereka selain itu mempunyai sebuah rumah berdekatan Kitkotak Home, yang telah dibina sejak 11 tahun.

Namun mereka memerlukan ruang serta keperluan seperti tandas, dapur dan ruang keluarga bagi keselesaan mereka bertujuh.

Author:

Facebook Comment