SKANDAL RASUAH JABATAN AIR NEGERI SABAH – 3 MENGAKU TIDAK BERSALAH

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan penyelewengan dana infrastruktur agensi berkenaan.

Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad.

Beliau didakwa memiliki RM56.9 juta wang tunai dan simpanan, enam kereta mewah serta 86 jam tangan mewah pada 4 Oktober lalu di beberapa lokasi di sini termasuk pejabat JANS.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Isterinya, Fauziah Piut, 51, dan bekas Timbalan Pengarah JANS yang bersara pada 2015, Lim Lam Beng, 62, turut dihadapkan ke mahkamah sama.

Fauziah didakwa atas 19 pertuduhan membabitkan wang RM2.2 juta tidak termasuk beg tangan mewah dan barang perhiasan emas serta bukan emas, manakala Lam Beng didakwa atas empat pertuduhan membabitkan wang RM2.38 juta serta sebuah kenderaan mewah, namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Awang Mohd Tahir dan isteri turut didakwa atas dua pertuduhan bersama mengikut seksyen dan akta sama masing-masing atas tuduhan memiliki 575 dan 346 barang kemas pelbagai jenis.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farez Rahman, Husmarudin Husin, Rozana Abd Hadi dan Rustam Sanip.

Awang Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam, Hairul Vaiyron Othman serta Ariel C Dasan, manakala Lam Beng diwakili peguam Chin Tek Ming, Baldev Singh dan Karpal Singh.

Ummu Khaltom menangguhkan prosiding kepada jam 1 tengah hari ini untuk menetapkan jaminan terhadap semua tertuduh.



Facebook Comment