PROGRAM RANDAU MKN BAWA MAKNA KEPADA PENDUDUK PEKAN BIAWAK

Khidmat pemeriksaan gigi percuma kepada penduduk kampung turut dibuka oleh ATM sempena Program Randau Keselamatan di Kampung Biawak

 
LUNDU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengadakan Program Randau Keselamatan Sempadan Negeri Sarawak di Dewan Serbaguna Kampung Biawak di sini semalam.

Anjuran bersama Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Pejabat Daerah Lundu, program julung kalinya ini melibat penduduk dari 10 kampung di sepanjang Jalan Biawak.

Dalam ucapan penutupannya, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Mas Gading, Sumy Likie berkata sebagai pemimpin kawasan ini mereka amat mengalu-alukan program ini.

“Saya sempat mendengar ceramah keselamatan wakil agensi keselamatan dan mendapati isi ceramah disampai amat berguna kepada kita semua terutama penduduk di sini tinggal berdekatan sempadan negara.

“Justeru, saya berharap agar kita hadir pada program hari ini akan meuaruarkan apa telah disampaikan oleh dalam ceramah ini kepada ahli keluarga serta rakan lain untuk manfaat bersama,” katanya.

Sumy berkata demikian sebagai mewakili Ahli Parlimen Mas Gading, Dato Anthony Nogeh Gumbek yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Ketua Kampung Biawak Juak Domet ketika ditemui selepas program itu berkata program randau ini amat bagus untuk penduduk di kawasan Biawak ini.

Malah katanya program turut menghimpunkan agensi-agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Imigresen serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini telah membuka minda penduduk terhadap fungsi dan peranan agensi-agensi ini.

“Selama ini penduduk memang tahu akan kewujudan agensi-agensi keselamatan ini di sini tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya fungsi serta peranan yang dimainkan oleh pihak keselamatan ini.

“Sebagai contoh ada penduduk yang masih tidak mempunyai kad pengenalan diri terutama warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan.

“Tetapi dengan adanya penglibatan pihak Imigresen pada program hari ini, penduduk telah mengetahui bagaimana untuk memohon permit residen tetap daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Melihat kepada keberkesanan program itu semalam, Juak berharap program yang sama akan diadakan pada masa akan datang di Biawak ini dengan penglibatan lebih ramai pihak.

Author:

Facebook Comment