PENJARA 45 TAHUN, 30 SEBATAN KERANA ROGOL ADIK KANDUNG

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 45 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak. 

Tertuduh berusia 23 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, yang berjalan secara berasingan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin. Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa melahirkan seorang bayi perempuan pada 8 Disember lalu. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol adik kandungnya berusia 16 tahun sebanyak tiga kali pada Februari dan April 2015 serta Mac 2016 di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh, jam 12 tengah malam. 

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun, serta tidak kurang 10 sebatan. 

Terdahulu, Fahrul Razi meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan terkutuk itu dilakukan terhadap adik kandungnya sendiri. 

Malah, katanya, akibat perbuatan terkutik tertuduh, mangsa kini sudah melahirkan bayi perempuan pada 8 Disember lalu.


Facebook Comment