PENGASUH DERA BAYI DI REMAN TUJUH HARI


Pengasuh yang ditahan kerana disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia lima bulan direman selama tujuh hari bermula semalam.
Perintah reman sehingga 29 Disember ke atas wanita berusia 57 tahun itu dibuat oleh Majistret Zulhairil Sulaiman bagi melengkapkan siasatan polis.
Suspek yang merupakan sepupu kepada bapa mangsa telah ditahan pada Rabu lepas di sebuah rumah di Matang Jaya, dekat sini pada sekitar jam 1.45 pagi hari berkenaan.
Bayi malang itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera suspek ketika menjaganya.
Pada Selasa lepas, bayi lelaki terbabit dimasukkan ke ICU HUS akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera pengasuh.
Menurut sumber, bayi malang terbabit dikejarkan ke HUS oleh ibu bapanya selepas mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri sekitar jam 11 pagi Selasa.
Difahamkan, mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan oleh pihak hospital sebelum dimasukkan ke ICU Kanak-Kanak untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek tidak diwakili peguam ketika hadir ke mahkamah semalam.

Facebook Comment