Pemimpin PKR dipanggil polis berhubung pembunuhan Bill Kayong - Randau Sarawak

Breaking

Friday, December 16, 2016

Pemimpin PKR dipanggil polis berhubung pembunuhan Bill Kayong

KUCHING: Seorang pemimpin PKR negeri dipanggil polis hari ini untuk diambil keterangan berhubung catatan Facebook yang menuduh wakil rakyat dan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas pembunuhan Bill Kayong.

Keterangan Timbalan Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Aji Kedit akan diambil pada 5.00 petang di Pusat Khidmat Sehenti Polis di Simpang Tiga di sini. Beliau akan diwakili peguam See Chee How, yang juga Adun Batu Lintang.

"Kami sudah menghubungi polis dan menetapkan janji-temu," kata Vernon kepada pemberita di ibu pejabat parti negeri di sini hari ini.

Catatan Facebook itu, yang dibuat semalam, dinaikkan bersama 2 keping gambar tangkapan suspek, Datuk Stephen Lee Chee Kiang.

Vernon dilaporkan berkata kerajaan, wakil rakyat dan menteri yang memberikan pajakan sementara ke atas tanah adat Orang Asal kepada Stephen adalah penjenayah sebenar dalam pembunuhan Bill.

Vernon seterusnya menyoal menteri atau wakil rakyat mana yang meluluskan pajakan sementara itu.

Vernon menjelaskan catatan itu berbentuk retoris, dan tidak sepatutnya dibaca secara harfiah.

"Catatan itu perlu dibaca dalam konteks kenyataan retoris. Maksudnya ia suatu kenyataan politik. Ia bukan kenyataan harfiah. Sudah tentulah tiada siapa akan percaya kalau saya kata kerajaan pembunuhnya."

"Barangkali, perkataan yang saya guna itu bunyinya kasar dan menyebabkan sesetengah orang berasa tidak selesa. Mungkin saya tidak sepatutnya guna perkataan itu," kata Vernon.

Semalam, satu laporan polis dibuat oleh bekas pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Athanasius Audie Chua.

Stephen didakwa semalam di Mahkamah Majistret Miri kerana bersubahat dalam pembunuhan Bill, seorang aktivis tanah adat dan Setiausaha PKR Cabang Miri.

Stephen ditahan di Fujian, China, oleh pihak berkuasa China pada Isnin. Polis terbang ke China dan mengiringi suspek pulang ke Malaysia.

Stephen lari ke luar negara 2 hari selepas Bill dibunuh di persimpangan Jalan Kuala Baram di Miri pada 21 Jun. Beliau melarikan diri selama 172 hari.

No comments:

Post a Comment