PEKAN BIAWAK, LUNDU BAGAIKAN PEKAN MATI

ICQS Biawak


Pekan Biawak lengang bagaikan sebuah pekan mati sejak empat tahun lalu
Kerja-kerja pembinaan pusat penjaja di sempadan Kampung Biawak lewat setahun daripada jadual.

Penduduk Pekan Biawak mahu aktiviti perniagaan termasuk rentas sempadan dihidupkan semula.
LUNDU: Pekan Biawak yang terletak di sempadan antara Kampung Biawak dan Kalimantan, Indonesia di sini bagaikan sebuah pekan mati sejak empat tahun lalu.

Sebelum kewujudan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan ini, pekan ini sentiasa sibuk dengan aktiviti perniagaan rentas sempadan antara penduduk tempatan di sini dengan penduduk jiran.

Namun menurut Ketua Kampung Biawak, Juak Dumet, keadaan di pekan ini sudah berubah dan sepi sehingga memaksa peniaga menutup perniagaan yang sekian lama diusaha mereka.

"Kami penduduk di sepanjang kawasan Biawak ini menyambut baik kewujudan Kompleks CIQ di sini bagi memantap tahap keselamatan penduduk di sini terutama pintu keluar masuk antara rakyat negara ini dan Indonesia.

"Tetapi pada masa sama, kami tidak mahu CIQ ini menutup periuk nasi penduduk di sini terutama mereka bergantung sepenuhnya dengan aktiviti perniagaan rentas sempadan sebelum ini.

"Justeru kami berharap sangat kerajaan akan mengambil satu pendekatan menghidupkan kembali pekan kecil Biawak yang menjadi nadi kepada penduduk di sini," katanya ketika ditemui di Biawak semalam.

Terdahulu ketika tinjauan ke pekan tersebut, didapati bahawa pekan tersebut lengang daripada kehadiran pengunjung luar mahupun tempatan.

Malah daripada lebih 10 unit kedai yang ada di pekan ini kurang daripada lima pemiliknya masih setia meneruskan perniagaan.

Difahamkan, kerajaan kini sedang membina Pusat Penjaja Sempadan Kampung Biawak namun menurut Juak projek ini telah lewat setahun daripada jadual.

"Kami amat berharap kerajaan dapat menyegerakan projek ini agar dapat digunakan oleh penduduk kampung kembali menjalankan aktiviti perniagaan.

"Tetapi fasiliti ini sahaja tidak dapat membantu merancakkan ekonomi penduduk di sini jika  pintu sempadan ditutup ketat daripada jiran kita.

"Untuk itu kami memohon kerajaan memberikan pas khas atau kelonggaran untuk jiran kita memasuki kawasan ini bagi urusan jual beli pada hari dan waktu tertentu seperti Sabtu dan Ahad seperti di Serikin, Bau," ujarnya.


Facebook Comment