MUHYIDDIN TIDAK FAHAM MAKSUD KESETIAAN "WALA" DALAM UMNO. BUKAN BLIND LOYALTY.


TS Muhhiddin Yassin (TSMY) yang mengulas panjang lebar sesi penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016. Beliau umpama gila talak apabila menceritakan nostalgia semasa berada dalam UMNO menurut Datuk Mohd Puad Zarkashi, MT UMNO.

Kata TSMY....."Sepanjang ingatan saya, PAU adalah tempat, Presiden UMNO membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. Tetapi kali ini Presiden UMNO menuntut seluruh ahli berbai'ah dan memberi wala' kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal".

TSMY memang gila talak. Untuk makluman beliau, PAU 2016 memang sarat dengan perhabasan yang melibatkan soal soal dasar dalam Kerajaan dan Parti baik dalam isu Pendidikan, ekonomi, agama dan bangsa.

Dalam sesi penggulungan, Presiden UMNO memang memberi respon terhadap isu yang dibahaskan termasuk "New Deal" untuk FELDA dan sebagainya. TSMY mungkin miss suasana tersebut apatah lagi PAU 2016 amat meriah dan diikat dengan rasa ukhuwwah yang mendalam berbanding tahun lalu yang cuba disabotaj oleh TSMY.

Dia menuduh Najib menuntut seluruh ahli UMNO memberi wala' kepada beliau secara membabi buta?

Tahukah TSMY bahawa Saudara KJ dalam ucapan penggulungannya menyatakan dengan jelas "Pemuda tidak mengikrarkan wala' secara membabi buta"? Kesetiaan yang dijanjikan ialah seperti yang di Firmankan dalam Surah An Nisa iaitu kesetiaan selagi pemimpin tidak melakukan perkara di luar batasan.

Lantas KJ bertanya secara spontan kepada semua perwakilan "Adakah Presiden UMNO minta kita lakukan perkara bukan bukan atau yang dilarang Islam"? Semuanya menjawab "TIDAK".

Kesemua ini berlaku kerana TSMY tidak mengikuti penuh apa yang berlaku dalam PAU 2016. Dan inilah penyakit TSMY kerana percaya kepada khabar angin seperti mana dia mempercayai fakta salah mengenai 1MDB sehingga dia terpelanting keluar daripada UMNO dan Kerajaan.

Kesetiaan kepada Najib bukan kerana taksub kepada individu. Tetapi kesetiaan kepada institusi Presiden. Kesetiaan kerana dia setia kepada Perjuangan parti. Sebab itu bila Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Hussien On, Ku Li, Musa Hitam keluar parti mereka dianggap tidak setia kepada perjuangan parti. Maka tidak ramai yang ikut keluar menyertai mereka. Mereka setia pada pemimpin kerana pemimpin itu setia kepada PERJUANGAN parti.

Begitu juga apabila Tun M dan TSMY keluar parti dan menubuhkan parti baru PPBM, sebenarnya Mahathir dan Muhyiddin tidak setia kepada perjuangan parti. Sebab itu ahli UMNO kekal dalam UMNO. Hanya yang kecewa sahaja akan menyertai mereka berdua. Mereka itulah yang setia membuta tuli kepada Tun M dan Muhyiddin.

Saya ingin mencabar TSMY tolong nyatakan berapa ribu ahli UMNO yang sedia ada yang telah menyertai PPBM?

Sebab itu apabila Saidina Omar mendengar berita bahawa Rasulullah telah wafat, dia yang sedih kerana kecintaannya kepada Rasulullah telah mengangkat pedangnya dan berkata "siapa yang berani mengatakan Rasulullah telah wafat akan ku pancung dengan pedang ini".

Bila Saidina Abu Bakar mendengar kejadian tersebut, dia lantas menemui Omar dan berkata kepadanya "wahai Omar, jika kamu Islam kerana Muhammad, Muhammad sudah tiada. Tetapi jika kamu Islam kerana Allah, Allah tetap ada". Saidina Omar yang kesal diatas perbuatannya menangis sehingga  pedang ditangannya terjatuh.

Maka begitulah UMNO. Jika mereka UMNO kerana individu, seperti Tun M dan Anwar, individu itu sudah tiada. Tetapi jika mereka UMNO kerana perjuangan, perjuangan UMNO tetap ada. Kesimpulannya ahli UMNO setia kepada Najib kerana Najib setia pada perjuangan  UMNO. Itu bukan setia membabi buta.

Itu yang tidak difahami oleh TSMY. Sebab itu bila dia keluar UMNO dan meninggalkan pendiriannya "i am Malay first", tiada siapa yang mahu menjejakinya termasuk ahli UMNO di Pagoh. Mereka kekal setia dalam UMNO. Bukan kerana taksub kepada Najib tetapi taksub kepada perjuangan UMNO.

Kerana menolak kesetiaan membabi butalah ahli UMNO tidak mahu keluar meninggalkan UMNO dan ikut jejak Tun M dan TSMY. Dulu TSMY berani berkata "I am Malay first" kini segala galanya berubah. Selayaknya slogan baru beliau ialah "I am Lim Kit Siang first". Kerana Lim Kit Siang adalah Ketua "de facto" pemimpin pembangkang. Lim Kit Siang yang mencatur segala galanya.

Facebook Comment