MAYAT LELAKI DITEMUI DALAM KERETA DI BINTULU


BINTULU: Penemuan mayat seorang lelaki dengan muka dan baju berlumuran darah dalam kereta miliknya di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew di sini, pagi tadi, mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk setempat.

Pada mulanya, orang ramai menyangka mangsa yang dikenali sebagai Kudang Ligi, 49, maut akibat ditembak.

Susulan maklumat orang ramai, sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian, namun hasil siasatan awal tidak menemui sebarang kesan tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, ketika dihubungi menafikan berlaku sebarang kes melepaskan tembakan susulan penemuan mayat lelaki itu.

"Ia bukan kes tembak. Mangsa dipercayai mati mengejut ketika membawa keretanya. Punca kematian sebenar akan diketahui selepas bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Beliau turut memberi amaran penyebaran berita tidak sahih yang mendakwa lelaki terbabit mati ditembak.

"Polis Sarawak banyak kali memberi nasihat dan amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebar berita tidak sahih.

"Namun, masih lagi ada yang berdegil menyebar berita palsu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menyalahgunakan ruang media sosial," katanya.


Facebook Comment