LIWAT: PENGANGGUR DIHUKUM PENJARA 17 TAHUN, 10 SEBATAN


Tertuduh diiringi polis keluar mahkamah sebaik sahaja dijatuhi hukuman.

KUCHING: Seorang penganggur dihukum penjara 17 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat kanak-kanak berusia empat tahun.

Tertuduh dari sebuah kampung di Petra Jaya disabitkan kesalahan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Timothy Finlayson Joel.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan ketika sebutan kes di mahkamah pada 17 November lalu.

Hukuman itu dijatuhkan ekoran tertuduh yang sebelum ini dinasihat untuk tampil bersama peguam bela bagi pengurangan hukuman, gagal berbuat demikian.

Dia tampil ke mahkamah semalam tanpa peguam bela dan tertuduh sendiri meminta pengurangan hukuman berkenaan.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami masalah mental dan mengemukakan laporan pakar psikiatrinya yang bertarikh pada 2004.

Atas sebab itu, dia meminta hukuman ke atas dirinya diringankan.

Menjawab permohonan pengurangan hukuman itu, pendakwa raya berkata laporan tersebut telah dibuat 12 tahun lalu dan tertuduh sepatutnya mendapatkan rawatan berterusan untuk mengubati penyakitnya.

Sehubungan itu, hakim mengambil kira kepentingan orang awam dan kesalahan berat yang dilakukan tertuduh berdasarkan fakta kes.

Timothy berkata, hukuman itu akan memberi peringatan yang sewajarnya dan jelas bahawa kesalahan itu satu jenayah yang serius.

Katanya lagi, ia memberi kesan mendalam terhadap mangsa, manakala abang mangsa berusia tujuh tahun turut menjadi saksi insiden tersebut tidak mampu berbuat apa-apa.

Malah, beliau turut memberitahu bahawa pendakwa raya mengemukakan rekod kes lama mengenai kesalaham liwat, tetapi tiada satu kes yang membabitkan mangsa kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

“Ini menunjukkan kes ini adalah satu kes yang sangat berat,” tegasnya.

Tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat kanak-kanak berusia empat tahun di rumahnya pada 5 November lalu.

Tertuduh dan mangsa tinggal berdekatan dan kes ini menjadi perhatian selepas abang mangsa memberitahu ibu mereka mengenai insiden tersebut.

Ibu mangsa membawanya membuat laporan polis dan pemeriksaan perubatan dan laporan perubatan mendapati tanda-tanda kanak-kanak tersebut telah diliwat.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa pada tarikh dia ditangkap iaitu 10 November lalu.

Author:

Facebook Comment