GELANDANGAN ROGOL ANAK DIPENJARA 80 TAHUN, 110 SEBATAN



Seorang gelandangan berusia 38 tahun dipenjara 80 tahun dan 110 sebatan selepas didapati bersalah merogol anaknya berusia 16 tahun di ibu negara, Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datin M Kunasundari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas 11 pertuduhan rogol dan 1 pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya itu antara 27 Ogos hingga 7 September tahun ini.

Bagi 9 pertuduhan rogol yang dilakukan antara 27 Ogos hingga 5 September lalu, tertuduh dikenakan hukuman 60 tahun penjara dan 90 sebatan.

Bagi 2 lagi pertuduhan rogol dan 1 pertuduhan seks oral antara 28 Ogos hingga 7 September lalu, tertuduh dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 20 sebatan.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lorong Haji Taib, pertuduhan adalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan bagi tuduhan rogol yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan 10 sebatan.

Kunasundari dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan keji.

“Tertuduh diamanahkan sebagai bapa yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada mangsa, tetapi menjadi pemusnah terhadap masa depan mangsa. Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma dihadapi mangsa.

“Mahkamah tidak dapat memaafkan kesalahan tertuduh dan berharap perkara yang dilakukan tertuduh tidak dilakukan mana-mana bapa di dunia ini,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman penjara dan sebat yang ringan kerana dia sudah insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji akan menjadi orang baik.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat kerana kejadian berlaku setiap hari sejak anak kandungnya datang ke Kuala Lumpur.

“Mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian tapi cita-citanya hancur disebabkan perbuatan tertuduh,” katanya.

Author:

Facebook Comment