FENOMENA AIR PASANG BESAR, PENDUDUK DINASIHAT BERWASPADA


KUCHING: Masyarakat yang tinggal di kawasan rendah dinasihat berwaspada apabila Sarawak dijangka mengalami fenomena air pasang besar dari 13 hingga 18 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, air pasang besar berkenaan dijangka mencapai ketinggian air sehingga 6.5 meter dan sekiranya pada masa sama hujan lebat berlaku, beberapa kawasan lain berisiko banjir.

Antara kawasan dikenal pasti berisiko jika ketinggian mencapai paras berkenaan termasuk Kampung Bako Hulu dan Kampung Buntal Hulu (Kuching), Kampung Tebelu Hulu, Sebuyau, Menek Sebangan, Tambirat, Meranek, Tungkah Melayu, Sebangan (Samarahan), Kampung Sileng Dayak (Lundu), Kampung Jalan Pusat Giat Mara, Kampung Baru dan Pasar Sebuyau (Simunjan), Rumah Sambau Nangan Entulang, Pasar Sri Aman (Sri Aman), Kabong (Saratok) serta Kampung Jerijeh, Rajang, Belawai (Tanjung Manis).

“Kita berharap penduduk di kawasan rendah khasnya lebih berhati-hati dan berwaspada menghadapi fenomena yang dijangka berlaku dari 13 hingga 18 Disember ini dan dijangka mencapai 6.5 meter ketinggian air.

“Bagaimanapun dari segi persediaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempergiatkan usaha menghadapi sebarang kemungkinan berlaku dengan menempatkan anggota berkaitan di tempat tertentu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat dan lawatan ke Baraj Kuching dan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Baraj Kuching di sini, semalam.

Uggah berkata, Sarawak dijangka mengalami musim hujan dari Disember 2016 hingga Januari 2017 dan kekuatan keanggotaan jawatankuasa kini sudah mulai siap siaga menghadapi kemungkinan bencana berkenaan.

Katanya, jumlah yang terlibat pada kali ini ialah 17,869 anggota serta pegawai yang merangkumi agensi barisan hadapan pengurusan bencana termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan seramai 5,000 orang pegawai dan anggota digerakkan.

Angkatan Tentera Malaysia (6,700 pegawai dan anggota), Polis Diraja Malaysia (2,344 orang pegawai), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (1,343 orang), Jabatan Sukarelawan Malaysia (1,089 pegawai dan anggota) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (1,129).

Manakala, kekuatan logistik pada kali ini melibatkan lima helikopter, 154 lori, 358 kenderaan pacuan empat roda, 226 bot dan 50 ambulans untuk kegunaan di seluruh negeri.

Uggah pada masa sama turut memberitahu, jawatankuasa juga akan mengambil kira isu haiwan liar terutama buaya yang timbul semasa banjir di kawasan terjejas.

“Ini boleh kita anggap fenomena baharu berbanding sebelum ini dan kita akan mengambil kira perkara ini dengan mengarahkan setiap bahagian mengambil perhatian,” katanya sambil memberitahu akan mempertimbang kerjasama dengan  Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam perkara itu.

Mengenai lawatan ke baraj dan sistem pengoperasian amaran banjir, beliau amat berpuas hati kerana ia berada dalam keadaan yang baik serta siap sedia.

“Bagi sistem amaran banjir dan baraj ia berada dalam siap sedia dan apa yang penting kini adalah kita dapat mengurangkan impak bencana kepada rakyat melalui persediaan kita,” katanya.


Facebook Comment