DAP KESAL BN SARAWAK TERUS BERDIAM DIRI BERHUBUNG RUU355



KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak kesal dengan tindakan Barisan Nasional (BN) Sarawak yang terus berdiam diri berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (RUU355).

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata ketika RUU355 dibentang oleh Presiden PAS Datuk  Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, BN khususnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) begitu lantang membantah.

Malah ujarnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berulang kali mengatakan pendirian Sarawak menolak RUU355 dengan mengarah semua Ahli Parlimen BN membantah rang undang-undang berkenaan.

“Sekarang UMNO mengambil alih RUU355 untuk dibentangkan pada Parlimen tanpa mengubah isi kandungan. Ia masih rang undang-undang yang sama tetapi hanya dibentang oleh BN.

“Dalam hal ini Ahli Parlimen BN dari Sarawak  terus membisu termasuk Adenan (Ketua Menteri)… SUPP yang sebelum ini begitu lantang membantah, sekarang juga berdiam diri apabila pencadang rang undang-undang ini berubah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Hadir sama ADUN Tanjung Batu Chiew Chiu Sing dan ADUN Pending Violet Yong.

Tambahnya, SUPP juga tidak berani menyatakan sebarang pandangan mengenai RUU355 apabila ia menjadi rang undang-undang BN.

Menurut Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa tindakan BN Negeri itu jelas menunjukkan Adenan tidak berani menentang keinginan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

“Ini satu lagi bukti dalam BN, UMNO adalah ‘taiko’, apa sahaja keputusan dibuat UMNO, yang lain (komponen BN) mesti akur.

“Tidak kira selantang mana Adenan bersuara ia hanya di peringkat negeri, tetapi apabila tiba kepada pelaksanaan dasar, UMNO menginginkan perkara itu,” ujarnya.

Media Isnin lepas melaporkan bahawa semua Ahli Parlimen BN perlu menyokong cadangan PAS untuk menambah baik Mahkamah Syariah apabila ia menjadi RUU kerajaan kerana ia telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan.

Najib dalam satu perhimpunan agung UMNO, berikrar kerajaan persekutuan akan mengambil alih RUU335 selepas rundingan dengan PAS.

Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan semasa mesyuarat agung tahunan Kelab Luar Negara UMNO berkata sokongan semua Ahli Parlimen BN untuk RUU355 adalah satu kemestian.

Malah Maslan dilapor sebagai berkata, beberapa parti BN menentang RUU persendirian itu kerana ia dibentang oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Author:

Facebook Comment