3 BERANAK MATI LEMAS DEKAT RANAU


RANAU: Tiga beranak mati lemas bersama ketika mandi di kawasan air terjun di Kampung Tempios, dekat Sungai Nunuk Ragang, kira-kira 55 kilometer dari sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa adalah Josep Jami, 44; serta dua anak perempuannya, Eheishia Gene, 8 dan Esmerelbe Gene, 20. 

Sebelum kejadian, tujuh ahli keluarga terbabit, termasuk tiga mangsa pergi ke kawasan air terjun berkenaan untuk berkelah. 

Difahamkan, Eheishia dipercayai hampir lemas menyebabkan bapanya cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya hilang sebelum Esmerelbe pula cuba menyelamatkan mereka. 

Bagaimanapun, Esmerelba turut tenggelam dan hilang menyebabkan ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai serta penduduk kampung sebelum menghubungi bomba. 

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, ketika mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk bedah siasat. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagung, berkata anggota bomba tiba di lokasi pada jam 3.05 petang dan mendapati tiga mangsa berkenaan telah ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

"Mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak ambulans," katanya.


Author:

Facebook Comment