Rundingan autonomi, penurunan kuasa kepada Sarawak capai kejayaan


Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata kejayaan besar telah dicapai antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung autonomi dan penurunan kuasa kepada Sarawak.
Beliau berkata fasa pertama rundingan membuahkan hasil positif antaranya pengambilan lebih ramai rakyat negeri ini bekerja dengan jabatan-jabatan persekutuan dan sekolah-sekolah, operasi Petronas di Sarawak serta memperkasakan pegawai perundangan negeri untuk melakukan dakwaan ke atas kesalahan melanggar undang-undang negeri.
Kejayaan lain dicapai menurut beliau termasuk melaksanakan projek-projek pembangunan luar bandar seperti bekalan elektrik luar bandar oleh agensi-agensi negeri seperti Sarawak Energy Berhad dan pelaksanaan serta pengurusan dana-dana daripada kerajaan persekutuan untuk membangunkan projek Lebuh Raya Pan Borneo.
“Fasa kedua (rundingan) merangkumi isu-isu berkaitan pemberian geran khas dan pendapatan lain seperti termaktub dalam Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan, minyak dan gas, perundingan, pendidikan dan latihan, perundangan buruh anak syarikat bagi memenuhi pasaran dan keadaan buruh yang ‘pelik’ di Sarawak dan sebagainya.
“Usaha ini adalah berterusan dan di bawah pertimbangan aktif jawatankuasa teknikal dipengerusikan ketua hakim persekutuan bersama wakil-wakil daripada Kerajaan Sarawak dan Sabah sebagai ahli,” jelasnya.
Masing berkata demikian dalam satu kenyataan di bawah Perintah Tetap 11(1)(i) yang dibaca bersama Perintah Tetap 22 (DUN) yang dibaca pada Persidangan DUN semalam.
Menurutnya lagi, pembentangan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 dan telah diluluskan Dewan Isnin lepas merupakan manifestasi kejayaan yang telah Sarawak capai.
Sekarang ujarnya, Sarawak perlu menunggu laporan jawatankuasa teknikal mengenai perkara-perkara utama berkaitan isu-isu kewangan serta minyak dan gas.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) secara terbuka dalam satu majlis di Kota Kinabalu 12 November lepas, mengatakan beliau bersedia membincangkan Perjanjian Malaysia 1963 dan sebarang salah tafsir peruntukan perlembagaan.
“Beliau (Najib) juga memberitahu beliau tidak akan mengambil hak-hak Sabah dan Sarawak tetapi akan mempertahankannya. Beliau juga bersetuju Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 dibentangkan dalam Dewan ini,” ujarnya.
Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan menambah, rang undang-undang itu adalah satu penegasan Ketua Menteri  (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) ketika sambutan Hari Malaysia di Bintulu iaitu kita (Sarawak) tidak boleh berpuas hati hanya sebagai pemerhati dalam industri minyak dan gas.
Sebaliknya tambah beliau Ketua Menteri mahu rakyat Sarawak terlibat aktif dalam industri minyak dan gas di negeri ini.
“Undang-undang baharu ini akan membolehkan kerajaan negeri mengawal selia rangkaian dan industri pengagihan gas di Sarawak supaya lebih ramai rakyat dan syarikat tempatan berpeluang terlibat dalam semua segmen perniagaan pengagihan gas termasuk membekalkan gas kepada industri, hospital, komersial dan isi rumah,” jelasnya.
Masing berkata rakyat Sarwak telah memberi mandat yang jelas dan kukuh kepada kerajaan negeri untuk melindungi autonomi dan perlindungan perlembagaan ke atas hak-hak serta kepentingan khas negeri ini.
Beliau memberi jaminan keyakinan dan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri tidak akan dipersia-siakan.
ADUN Baleh itu menegaskan, dengan jaminan Najib ‘pintu’ beliau sentiasa terbuka untuk membincangkan kebimbangan rakyat negeri ini mengenai hak-hak Sarawak yang semakin ‘terhakis’ disebabkan salah tafsir MA63, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan dalam proses rundingan bagi memastikan hasil positif dicapai.
“Ini adalah proses yang panjang dan membosankan, Ketua Menteri yang pernah mengingatkan rakyat Sarawak mengenai perkara ini…Kita harus sedar Rome tidak dibina dalam masa sehari,” katanya.

Facebook Comment