Tulang, rambut ditemui dalam perut buaya 4.4 meter - Randau Sarawak

Breaking

Monday, October 10, 2016

Tulang, rambut ditemui dalam perut buaya 4.4 meter


Pasukan Tindakan Pemindahan Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sabtu lepas berjaya menangkap seekor buaya jantan Sungai Samarahan di sini.
“Ini berikutan tindakan susulan operasi memusnahkan buaya pertama yang dilancarkan di sepanjang Sungai Samarahan selepas buaya menyerang Ismandi Osman yang dilaporkan hilang pada pertengahan September lepas.
“Ia melibatkan jarak perairan antara Kampung Pinang hingga ke Kampung Endap, memfokus kepada kawasan dalam radius lapan kilometer (km) dari lokasi mangsa diserang,” jelas satu kenyataan akhbar daripada SFC semalam.
Pasukan SWAT memasang 13 cangkuk dan seekor buaya jantan bersaiz besar sepanjang 4.4 meter dengan berat kira-kira 600kg termakan umpan.
Buaya berkenaan kemudiannya dibelah perut dan isi kandungan perutnya diambil bagi tujuan pemeriksaan.
“Beberapa tulang dan rambut dijumpai di dalam perut buaya berkenaan.
“Ujian forensik lanjut akan dijalankan di makmal oleh pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan sama ada tulang dan rambut adalah milik manusia,” tambah kenyataan itu.
Operasi memburu dan membunuh buaya besar di Sungai Samarahan akan diteruskan kerana ia dilihat membahayakan manusia.
Pemantauan perairan di kawasan berkenaan juga akan dilakukan bagi meredakan kebimbangan penduduk yang takut dengan kelibat reptilia ganas itu.
SFC turut meminta penduduk yang tinggal di persekitaran Sungai Samarahan agar lebih berjaga-jaga ketika menggunakan sungai berkenaan.
Borneopost

No comments:

Post a Comment