TUBUH BIRO WANITA UNTUK RANCAKKAN LAGI AKTIVITI PEMBANGUNAN WANITA


Lebih banyak Biro Wanita diharap dapat ditubuh bagi merancak aktiviti pembangunan wanita negeri ini.
Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, badan itu akan membolehkan golongan wanita saling bekerjasama dalam meningkatkan potensi diri seiring peredaran zaman.
“Bagi menyedia golongan wanita berwibawa dan berkeyakinan mengharungi perubahan cabaran dunia kian meningkat, Biro Wanita tempatan sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Biro Wanita di Rh Wilson Bekir, Penom di Ulu Paku, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah serta isteri, Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu dan Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel.
Jamilah turut memuji semangat kerjasama dan komitmen ditunjuk Biro Wanita di rumah terpanjang tersebut dalam dalam menjayakan pertubuhan biro tersebut.
“Saya yakin dan percaya, adanya kerjasama, komitmen serta sentiasa berpandangan jauh, ahli-ahli Biro Wanita Penom khasnya membantu kaum wanita memain peranan semakin disegani dan dihargai pelbagai pihak.
“Saya berharap di masa-masa akan datang, kesungguhan, kegigihan, ketekunan dan kejayaan seperti ini akan diteruskan untuk mencapai segala objektif diinginkan oleh Biro Wanita,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, Biro Wanita mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekonomi selain merupakan tunggak utama dalam membentuk keluarga bahagia namun ia perlu dilengkapi ilmu pengetahuan.
Beliau turut mengesyorkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak untuk menganjurkan beberapa kursus dalam mempermantapkan lagi kemahiran golongan wanita seperti dalam bidang masakan, solekan dan lain-lain lagi.
Dalam perkembangan lain, Jamilah turut menggesa wakil rakyat untuk terus membantu Pusat Dalam Komuniti (PDK) dalam apa juga cara sekalipun.
Majlis itu menyaksikan lebih kurang 2,000 orang terdiri daripada 160 Biro Wanita kawasan Saribas, Layar dan Bukit Saban.
Kedatangan Jamilah dan rombongan turut disambut meriah penduduk rumah panjang Penom yang menggunakan pakaian tradisional dan berbaju kebaya dengan aksesori menawan.
Majlis juga turut dimeriahkan  dengan persembahan tarian ngajat, koir Biro  Wanita Penom, tarian poco-poco dan persembahan nyanyian oleh artis Iban, Maxwell Franklin Saran.

Facebook Comment