Pokok tumbang, struktur atap runtuh ribut badai Kuching - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, October 16, 2016

Pokok tumbang, struktur atap runtuh ribut badai Kuching

KUCHING: Sekurang-kurangnya enam kes pokok tumbang dan struktur atap runtuh dilaporkan di sekitar bandar raya ini susulan kejadian ribut serta angin kencang kira-kira jam 4 petang tadi.

Selain kawasan sekitar Padang Merdeka, antara lokasi lain yang teruk terjejas ialah berhampiran Pusat Beli Belah City One dan E-mart Batu Kawa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi mengesahkan kejadian memaklumkan pegawai dan anggotanya sudah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan, selain membantu operasi pembersihan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada laporan kemalangan jiwa atau kecederaan diterima setakat ini susulan insiden berkenaan, kecuali kerosakan harta benda dan beberapa kenderaan milik orang awam.

Farhan berkata, punca kejadian sedang dalam siasatan, begitu juga nilai kerugian sebenar. Sementara itu, kejadian ribut berserta angin kencang yang berlarutan kira-kira sejam berkenaan dipercayai sebahagian daripada kesan fenomena air pasang besar.

Malah, fenomena itu turut menyebabkan beberapa kawasan penempatan di kawasan pesisir pantai di Sebuyau dan Pusa turut dinaiki air.

Bagaimanapun, sehingga jam 6.45 petang tadi, belum ada penduduk di kawasan terjejas dipindahkan.

Namun, langkah berjaga-jaga sudah diambil oleh agensi berkaitan, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

No comments:

Post a Comment