Penguang kesal dan marah kelewatan projek jalan Miri-Marudi - Randau Sarawak

Breaking

Friday, October 7, 2016

Penguang kesal dan marah kelewatan projek jalan Miri-Marudi


Orang ramai terutama pengguna Jalan Miri-Marudi, bukan sahaja berasa tidak puas hati malah turut melahirkan rasa marah dan kesal dengan projek pembinaan jalan tersebut yang masih belum siap.
Pembinaan projek jalan tersebut menelan kos RM77.4 juta turut memalukan  kerajaan malah Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi, Datu Dr Penguang Manggil akui beliau turut berasa marah dengan kelewatan projek berkenaan disiapkan.
“Malah akaun Facebook saya turut dibanjiri aduan orang ramai melahirkan rasa tidak puas hati dan marah dengan keadaan jalan berkenaan.
“Namun saya sedar kenapa rakyat berasa marah, setelah apa mereka lalui sebelum ini, menunggu dengan begitu lama dan kini terpaksa melalui proses menaik taraf dan pemulihan dengan kos RM77.4 juta,” katanya.
Penguang memberitahu melalui akaun laman sosialnya juga beliau memohon maaf secara peribadi kepada pengguna jalan berkenaan, lebih-lebih lagi pelawat yang datang untuk menghadiri beberapa majlis dan program yang diadakan di Marudi, kerana terpaksa melalui jalan yang berlubang dan rosak, hampir sepanjang laluannya.
Bercakap kepada pemberita semasa ditemui di Lapangan Terbang Miri di sini, petang kelmarin, selepas mengiringi Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Prof. Dr Sim Kui Hian untuk lawatan dua hari ke Bario,  Penguang memberitahu beliau ingin mendengar sendiri jawapan dan penjelasan daripada pihak berkaitan.
Sehubungan itu Penguang memberitahu, beliau telah memanggil semua pihak yang terbabit untuk bermesyuarat di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri pada Isnin depan, bagi mengenai pasti punca dan masalah yang menyebabkan projek tersebut berjalan dengan lembap, hingga menimbulkan kemarahan rakyat di Marudi dan menjejaskan imejnya di mata pelawat.
“Terus-terang saya sendiri amat kecewa dengan kelewatan yang berlaku pada projek ini, lebih-lebih lagi berdepan dengan pelbagai aduan rakyat dan pelawat,” katanya, semua mata kini tertumpu kepada projek tersebut yang hangat diperkatakan dan amat ‘sensitif’ di kalangan rakyat di Marudi.
“Sebelum pilihan raya negeri yang lepas, Kabinet Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM77.4 juta bagi memperbaiki dan menaik taraf jalan tersebut.
“Duit (peruntukan) sudah ada di situ. Sekarang cuma tinggal melaksanakannya sahaja,” ujar beliau kesal.
Menurut Penguang, beliau juga turut menerima aduan daripada penduduk yang memberitahu, walaupun kesemua peralatan dan mesin untuk kerja pembinaan ada di tapak projek, namun para pekerja hanya bekerja dari jam 10 pagi hingga 3 petang sahaja.
Projek pembinaan Jalan Miri-Marudi itu yang bermula Julai tahun ini dengan kumpulan pertama digerakkan ke KM15.8 untuk kerja-kerja menaik taraf mengikut reka bentuk yang sudah dikemukakan oleh pihak kontraktor CMS Roads Sdn Bhd.
Manakala kerja menaik taraf dan memperbaiki jalan sepanjang 44 kilometer yang menghubungkan pekan Marudi dan bandar raya Miri, dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.
Pada masa sama Penguang, mahu orang ramai agar bersabar untuk sedikit masa lagi dan meminta mereka memahami bahawa projek mega seperti ini tidak dapat dilaksanakan sepanjang hari atau bermalam, malah ia turut mengambil masa untuk disiapkan bagi menjamin kualiti dan hasilnya kelak.
Sementara itu, jurutera JKR Wilayah Miri, Chong Chi Fam, beritahu reka bentuk projek dan konsep pembinaan serta peringkat mereka bentuk sudah siap, dengan pihak JKR sudah meluluskan rekaan yang dikemukakan oleh CMS Roads Sdn Bhd, termasuk mengurangkan kecuraman cerun di beberapa kawasan dan penjajaran laluan jalan tersebut yang sebelum ini dibina di bawah Projek Jiwa Murni, oleh Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jalan tersebut kini sudah rosak teruk, menjadi semakin sukar dilalui apabila hujan turun kerana ia bukan sahaja becak dan licin, namun lubang yang terdapat di sepanjang jalan turut digenangi air serta berlopak, menyebabkan ia berbahaya kepada kenderaan.

No comments:

Post a Comment