Beberapa syarikat Jerman mahu melabur RM1.5b di Malaysia - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, September 29, 2016

Beberapa syarikat Jerman mahu melabur RM1.5b di Malaysia

Beberapa syarikat Jerman menyatakan komitmen untuk melabur RM1.5 bilion dalam sektor semikonduktor dan kejuruteraan di Malaysia.

Hasrat itu disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dan dialog dengan pemimpin perniagaan Jerman sempena lawatan rasmi tiga hari ke negara itu yang berakhir semalam.

Antara syarikat yang menyertai dialog itu, termasuk Atotech, AWS Schafer, BMW, Daimler, Osram, Volkswagen, Infineon, Bombardier Transportation, Ensinger, B Braun, Green Sugar dan Biesterfeld International.

Selain sesi dialog, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pegawai Eksekutif X-Fab, Rudi De Winter; Presiden Muhlbauer, Josef Muhlbauer; Naib Presiden Kanan (Asia Pasifik & Afrika Selatan) BMW Group (Munich), Hendrik von Kuenheim dan Pengarah Strategik Pembangunan Perniagaan Aerodata AG, Dr Manfred Haverland.

"Saya nampak komuniti perniagaan Jerman mempunyai keyakinan tinggi terhadap Malaysia. "Ia bukan sahaja dalam perniagaan, ia turut dari segi dasar kerajaan yang sedang dilaksanakan dan kestabilan politik.

"Jika digabungkan faktor-faktor itu tahap keyakinan syarikat-syarikat Jerman di Malaysia adalah tinggi. Ini mendorong mereka menzahirkan hasrat menambah pelaburan di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia di Berlin.

Lawatan Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perusahaan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dalam lawatan itu, kerjasama dan perdagangan dua hala menjadi fokus utama pertemuan Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya, Canselor Angela Merkel di Berlin, kelmarin.

Najib turut mengadakan majlis dialog bersama kira-kira 30 pemimpin perniagaan Jerman, kelmarin bagi mendengar permasalahan dan cadangan mereka untuk menambah pelaburan di Malaysia.

Setakat ini, kerajaan sudah meluluskan 552 projek membabitkan pelaburan syarikat Jerman di Malaysia dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah AS$11.4 bilion (RM47.2 bilion).

Najib juga menyatakan potensi pasaran yang terbentuk melalui kerjasama Komuniti Ekonomi Asean turut menjadi faktor menarik syarikat Jerman memilih Malaysia.

Perdana Menteri juga melahirkan rasa bangga terhadap pembabitan firma Malaysia melalui Kumpulan Genting yang akan membina kapal persiaran terbesar di dunia serta dijangka siap pada tahun 2020.

Kapal persiaran termoden itu mempunyai kapasiti 10,000 penumpang dan 3,500 kru akan dibina di limbungan MV Werften milik Kumpulan Genting. Kumpulan itu yang membeli tiga limbungan di sini dengan pelaburan lebih RM1 bilion, tahun lalu turut menawarkan 6,500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia dan Indonesia akan bersama menangani isu mendiskriminasikan produk minyak sawit di negara Kesatuan Eropah (EU).

"Salah satu teras strategi kita ialah memastikan pembangunan mampan dan ini termasuk dalam sektor sawit.

"Justeru tiada sebab pengguna di Jerman atau di mana saja sangsi dengan kelestarian pembangunan industri sawit Malaysia yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.

"Kerajaan pandang berat isu melabel produk minyak sawit kerana ia memberi kesan negatif kepada industri sawit," katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia juga akan bekerjasama memberi penerangan dengan menemui negara anggota EU untuk mengubah persepsi mereka terhadap industri sawit.

Beberapa pihak di Eropah berusaha meletakkan label 'tanpa minyak sawit' kepada produk yang mempunyai kandungan minyak sawit kerana industri sawit didakwa punca kemusnahan alam.

No comments:

Post a Comment