Rakyat perlu sabar, Petronas positif terima usul S’waklai


Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas malam kelmarin mengesahkan satu lagi mesyuarat akan berlangsung bersama Petronas Sabtu depan.
Beliau berkata, mesyuarat itu sebagai susulan mesyuarat sebelum ini iaitu pada Isnin lepas berhubung keputusan kerajaan negeri mengeluar moratorium ke atas semua permohonan permit kerja baharu untuk kakitangan Petronas dari luar Sarawak untuk bekerja di negeri ini.
“Isnin lalu kita dan Petronas berjumpa dalam mesyuarat begitu baik, banyak isu kita bincangkan secara efektif dan itu sebabnya mengapa kita perlu berjumpa dalam mesyuarat sekali lagi.
“Ia adalah bagi mencari jalan dan penyelesaian bagi sebarang isu yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita pada Makan Malam Gala Kongres Tanah Gambut Antarabangsa (IPC) Edisi Ke-15 2016 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, malam kelmarin.
Beliau turut menasihatkan masyarakat umum agar menghentikan segala spekulasi berhubung isu tersebut.
“Anda (masyarakat) tidak perlu buat spekulasi, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sedang berusaha menyelesaikan perkara itu.
“Anda perlu bersabar dan menunggu sementara kerajaan negeri melakukan yang terbaik. Dan saya dapat saksikan Petronas juga positif melihat kepada isu kita sedang selesaikan ini,” katanya.
BP

Facebook Comment