Ceritakan tiga tarikh penting sejarah kemerdekaan M’sia


Tiga tarikh penting dalam sejarah kemerdekaan Malaysia harus diceritakan kepada generasi muda khususnya pelajar di Sarawak.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masya-rakat Datuk Fatimah Abdullah berkata tiga tarikh penting itu ialah 31 Ogos 1957, 22 Julai 1963 dan 16 September 1963.
“Sebelum ini, kita atau pelajar khasnya hanya dimaklumkan mengenai 31 Ogos 1957, tarikh negara merdeka sedangkan ada dua lagi pe-ristiwa penting iaitu pada 22 Julai 1963 dan 16 September 1963.
“Peristiwa di sebalik tiga tarikh ini harus diberitahu kepada generasi yang lahir selepas merdeka dan orang yang perlu melakukannya ialah warga pendidik dan generasi terdahulu yang lahir sebelum merdeka,” katanya kepada media semalam.
Fatimah berkata sebelum 22 Julai diwarta sebagai cuti umum ramai tidak tahu signifikan tarikh berkenaan kepada Sarawak iaitu hari Sarawak mula dibebaskan daripada cengkaman penjajah British pada 1963.
Tambahnya, bermula dari detik itu pentadbiran negeri diuruskan oleh anak Sarawak sendiri hingga ke hari ini.
“Tanggal 16 September 1963 Malaysia ditubuhkan secara rasmi, penubuhan negara ini  telah melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah),” jelasnya.
Menurutnya peristiwa di sebalik tiga tarikh penting itu mesti diketahui oleh gene-rasi selepas merdeka supaya mereka menghargai kemerdekaan dan kemakmuran dikecapi hari ini.
Generasi muda perlu didedahkan dengan peristiwa-peristiwa di sebalik tiga tarikh penting itu kerana mereka tidak merasai perit getir dialami rakyat ketika itu.
Katanya cara mengajar subjek sejarah lebih-lebih lagi berkaitan tiga tarikh penting itu harus dilakukan menerusi kaedah menyeronokkan supaya pelajar terutama di peringkat rendah dapat mengingatinya.
Menerusi cara itu katanya, semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dapat disemai di peringkat awal lagi.
“Selamat hari merdeka kepada semua rakyat Malaysia, hargailah kemerdekaan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini, ia adalah hasil perjuangan generasi terdahulu.
“Terima kasih semua guru yang telah melakukan tugas mendidik dengan baik khususnya dalam melahirkan generasi baharu berjiwa nasionalisme,” katanya.

Facebook Comment