AL FATIHAH...KENALI HAMDAN SIRAT, PESURUHJAYA POLIS SARAWAK YANG PERTAMA

 

“Saya tidak berminat menjadi polis. Saya memasukinya hanya kerana ada kerja kosong dan saya ditawarkan jawatan itu,” kata Tan Sri Hamdan Sirat, anak Sarawak pertama yang menyandang Pesuruhjaya Polis Sarawak pada tahun 1965.

Hamdan mencetus tangis pertama pada 21 Disember 1920, di Kampung Bandarsah, Jalan Datus (kini Jalan Datuk Ajibah Abol), hasil perkahwinan Mohd. Sirat Mohd. Daud dan Dayang Jinah Abang Mohd. Taha.

Beliau membesar dalam suasana  kampung bersama-sama tiga lagi adiknya, ketika Sarawak di bawah pemerintahan Rajah Brooke.

Ketika itu, keluarganya telah menetap dan menghuni antara kampung Melayu tertua di Kuching itu selama lima keturunan.

Hamdan kemudian memasuki alam persekolahan di Madrasah Melayu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah St Joseph, Kuching, sebuah sekolah mubaligh yang agak tersohor.

Di sekolah tersebut, Hamdan sempat menduduki peperiksaan Junior Oversea Cambridge sebelum perang Jepun meletus.

Malangnya, harapan itu berkecai apabila slip jawapan peperiksaannya tidak sampai ke London apabila musnah ketika kapal kargo “Vyner Brooke” musnah dibom pesawat Jepun di Pelabuhan Singapura pada 8 Disember 1941.

Dengan pengalaman belajar di Sekolah St Joseph, Hamdan memasuki alam pekerjaan pada era pemerintahan Jepun,

Beliau diterima masuk untuk berkhidmat di Jabatan Kehakiman sebagai kerani mahkamah, yang Majistret Kelas Pertamanya ialah Abang Openg Abang Sapie’e (yang kemudian menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama).

Apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali menguasai Sarawak, Hamdan kekal dengan pekerjaannya sebagai kerani mahkamah. Tetapi kali ini ketuanya, Majistret Kelas Pertama adalah Datu Bandar Abang Mustapha Abang Moasli.

Ketika memengang jawatan tersebut, Abang Mustapha juga merupakan seorang Ajutan dalam Polis Konstabulari Sarawak.

Selepas kembali memerintah, British menstruktur semula jabatan-jabatan kerajaannya dan Abang Mustapha telah diminta kembali bertugas di Polis Konstabulari Sarawak.

Ketika itulah Hamdan dipelawa oleh Abang Mustapha untuk bersama-sama dengannya berhijrah tugas, kerana terdapat jawatan kosong yang perlu diisi oleh seorang yang berpengalaman.

Bermula 1 Februari 1946, lembaran baru diselak dalam kehidupan Hamdan, yang kini berkhidmat sebagai Inspektor Percubaan.

Kerjaya suami kepada Halimah Abdullah itu terus meningkat dengan pantas, dengan kenaikan demi kenaikan pangkat diperoleh, kerana tidak banyak
saingan.

Malah beliau dilantik ke pangkat Asisten Superintendan selepas mengikuti kursus di London pada 1957, ketika berudia 37 tahun.

Hamdan memiliki personaliti yang menarik iaitu tidak pernah memburukkan orang lain, selain tidak menyertai mana-mana kelompok dalam pasukan polis ini.

Karektor itulah yang menyebabkan beliau begitu disenangi sehingga namanya dicadangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis, apabila Menteri Dalam Negeri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohammad Salleh Ismael mahukan anak Sarawak mengetuai Jabatan Polis Sarawak, selepas Polis Konstabulari Sarawak diserap masuk kepada entiti baharu.

Menurut Datuk JJ Raj, yang bertanggungjawab menjalankan misi khas itu bagi pihak KPN, Hamdan merupakan seorang yang disenangi oleh semua orang dalam jabatan tersebut.

Beliau yang memangku jawatan Superintendan juga amat dihotmati oleh pegawai-pegawai kerajaan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

” Kerana itulah saya mendekati beliau secara akrab, dan beliau banyak membantu dari aspek tugasan saya menguruskan pemindahan tugas kepimpinan polis dari para ekspatriat kepada anak tempatan,” katanya.

Hamdan kemudian dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada tahun 1967, menggantikan Bob Smith manakala Datuk John Ritchie didatangkan dari Semenanjung bagi mengambil alih tugas daripada Roy Henry.

Pada 1 Oktober 1969, Hamdan telah dinaikkan pangkat sebagai pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, dan JJ Raj sendiri dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri.

Antara kejayaan besar Hamdan selaku pentadbir keselamatan di Sarawak ketika itu termasuklah menumpaskan ancaman komunis di negeri ini, terutama di Sri Aman dan Sibu.

Hamdan terlibat sendiri dengan proses itu, yang disifatkannya sebagai hasil kerjasama erat pasukan polis dan tentera.

” Kami memberi tekanan yang kuat kepada pihak komunis dengan melakukan serangan demi serangan di mana sahaja mereka bertapak.

” Malah dalam operasi khas, kita meledakkan meriam selama 24 jam ke arah sarang mereka, menyebabkan pengganas ini terpaksa berundur ke kawasan sempadan, bersama-sama ketuanya, Bong Kee Chok.

Setelah berjaya mendesak mereka berundur, pasukan polis hutan dan tentera katanya, melakukan kepungan bagi menyekat bekalan makanan, perubatan dan senjata.

” Faktor ini yang mendorong pasukan Bong Kee Chok ini memohon rundingan damai,” katanya lagi.

Menceritakan perisitiwa penyerahan diri dan perjanjian damai tersebut, Hamdan berkata, pihaknya menerima surat tawaran menyerah diri daripada Ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku), Bong Kee Chok pada 20 Oktober 1973.

Surat itu ditulis sendiri Kee Chok, sebagai ketua Paraku iaitu sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Beliau yang ditemani dua pengawal peribadi menujukan surat itu kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Abdul Rahman Yaakub untuk tawaran menyerah diri dan mengadakan perjanjian damai antara komunis dengan kerajaan.

Untuk tujuan itu, Kee Chok mahukan perjumpaan terbuka dengan Abdul Rahman dan ia diadakan secara terbuka di Simanggang.

” Sebaik menerima maklumat itu, saya mengarahkan Kee Chok ditempatkan di rumah rehat kerajaan di Simanggang.”

” Sementara surat dalam bahasa Cina itu diserahkan kepada seorang penterjemah yang berasal dari Hong Kong dan bekerja dengan Cawangan Khas.

Kata Hamdan, ketika penterjemah yang bernama Chen menyerahkan terjemahan surat itu kepadanya, dia (Chen) kelihatan menggigil dan hampir menitiskan air mata kerana tidak menyangka ancaman pengganas komunis di Sarawak akan berakhir.

” Ketua Menteri (Datuk Abdul Rahman Yaakub)  ketika itu berada di Kuala Lumpur kerana menjalani rawatan.

” Tetapi sebaik mendapat maklumat itu, beliau bergegas kembali ke Kuching sebelum menaiki helikopter menuju Simanggang dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Kee Chok.

Perundingan kata Hamdan, berlangsung dari tengah hari hingga ke malam.

” Ia bersambung pada pagi keesokannya, 21 Oktober, sebelum keputusan dan terma serah diri kumpulan Kee Chok ini dimeterai.

” Perjanjian inilah yang dinamakan Perjanjian Sri Aman dan daerah itu kemudian dinamakan Sri Aman sempena perjanjian tersebut,” katanya.

Bong Kee Chok kata Hamdan, kemudian kembali ke dalam hutan sebelum memulakan proses serah diri dua minggu kemudian, dengan 12 anggota, sebelum diikuti lebih 585 komrad dalam tempoh tiga bulan.

” Kesemua mereka kemudian menjalani proses rehabilisasi dan deradikalisasi selama sebulan sebelum kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.”

Penyerahan diri itu sebenarnya memberi kesan mendalam kepada pergerakan komunis di Sarawak.

Ini kerana pasukan keselamatan dapat mengecilkan zon fokus mereka dan memberi tumpuan terhadap ancaman komunis di Sibu.

” Ketika itu kelompok pengganas ini dan golongan yang bersimpati dengan perjuangan mereka begitu berleluasa di bandar Sibu.

” Mereka bukan sahaja mengancam malah membunuh mereka yang tidak menyokong perjuangan mereka secara terbuka.

Oleh kerana itu katanya, Ketua Menteri setelah melalui proses rundingan yang panjang telah memohon kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Tun Abdul Razak Hussein untuk mewujudkan Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang atau Rascom.

” Ditubuhkan pada 25 Mac 1972,  Rascom yang meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit mula melakukan tangkapan dan serbuan bukan sahaja kepada pengganas komunis, malah golongan yang bersimpati dengannya, hingga mereka terpaksa lari ke kawasan hutan.

” Kita tangkap semuanya, termasuk ahli-ahli politik yang menyokong mereka,” jelasnya.

Impak daripada usaha itu kata Hamdan, masyarakat Cina dapat kembali bercucuk tanam tanpa risau diancam oleh para pengganas ini.

Malah tekanan demi tekanan dihadirkan kepada pengganas komunis di kawasan ini.

Pasukan keselamatan menggunakan pelbagai strategi, termasuk membawa Kee Chok ke Sibu bagi memujuk kumpulan terbabit untuk meletakkan senjata serta menyerah diri.

” Kee Chok memberi amaran kepada kumpulan itu bahawa pasukan keselamatan akan menggempur sarang mereka dalam tempoh 15 hari sekiranya mereka menyerah diri.

Akhirnya, kumpulan pengganas komunis di Sibu itu keluar untuk menyerah diri secara berperingkat, termasuk kumpulan Ubong Nuing yang terkenal, hingga membolehkan situasi keselamatan kembali terkawal pada tahun 1974.

Ancaman komunis di Sarawak tamat selepas perjanjian damai pada tahun 1990.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai, Hamdan mengakhiri kerjaya kepolisannya selama 33 tahun dengan penuh kegemilangan. Beliau bersara daripada jabatan itu pada 21 Disember 1979.

Sebagai mengiktiraf jasa dan perjuangannya, bapa kepada lapan anak itu kemudian dilantik sebagai pemangku jawatan Yang di-Pertua Negeri selama dua kali iaitu pada 1 April 1982 dan 3 Mei 1983.

Malah beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dari 15 Disember 1989 hingga 14 Jun 2005.

Bagi menjalani rutin tuanya saban hari selepas itu,  Tan Sri Hamdan akan bangkit dari tidur pada jam 5 pagi sebelum berjalan di sekitar rumah untuk menutup lampu sebelum solat subuh, membaca al-Quran serta menyiapkan sarapan pagi.

Kemudian beliau akan menonton televisyen terutamanya siaran berita sebelum menghadiri aktiviti sosial yang lain.

Tokoh Malaysia 2012a itu menghembus nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Demak Laut, sekitar jam 2.28 petang semalam ketika berusia 95 tahun lapan bulan.

Terima kasih Tan Sri Hamdan Sirat. Al Fatihah.

Oleh Rudi Affendi Khalik - August 21, 2016

Facebook Comment