VAKSIN PERKARA ASAS MAQASID SYARIAH - JAKIM - Randau Sarawak

Breaking

Saturday, June 25, 2016

VAKSIN PERKARA ASAS MAQASID SYARIAH - JAKIM


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersetuju dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai penggunaan vaksin dari pandangan fiqh dan maqasid syariah.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Othman Mustapha berkata, penggunaan vaksin adalah satu daripada perkara asas dalam maqasid syariah iaitu menjaga agama; nyawa; akal; keturunan dan harta yang perlu diberi keutamaan untuk dipelihara.

"Suntikan vaksin adalah sejenis ejen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan iaitu salah satu cara untuk memelihara nyawa dengan menjaga kesihatan.

"Malah kegagalan mengambil suntikan vaksin bakal mengundang kemudaratan yang lebih besar pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, individu yang tidak mengambil vaksin akan terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit yang merbahaya malah ia juga berpotensi membahayakan orang lain dan akhirnya bakal mengancam 'kekebalan kelompok' atau herd immunity yang dibina selama ini.

Dr Zulkifli Mohamad sebelum ini dipetik berkata, beliau menegaskan hukum suntikan vaksin sebagai harus sama ada untuk merawat penyakit atau bersifat pencegahan daripada dijangkiti penyakit.

Beliau dilaporkan berkata, ia selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama, namun ia perlu menepati beberapa kriteria, iaitu berlakunya keperluan yang mendesak dan kedua, testimoni mengatakan ia dapat memberikan kesan yang baik.

Memetik laporan itu, beliau berkata, mengelakkan bahan bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa dan keempat, sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah terbukti.

No comments:

Post a Comment